Pages

Showing posts with label Citra. Show all posts
Showing posts with label Citra. Show all posts

Sunday, 8 June 2014

Ya Habibi - Citra (2014)


Telefilem Ya Habibi mengisi Slot Citra di TV2 membawakan jalan cerita bila mana seorang pemuda cuba lari daripada kongkongan dua orang kakaknya. Telefilem ini menampilkan lakonan berkesan Izzue Islam dengan dibantu oleh Adrea Abdullah, Syatilla Melvin, Syuk Balas, Erin Malek dan Zarina Zainuddin.
 
Telefilem ini mengisahkan kehidupan Habib jejaka kacak dan kelihatan sempurna di mata si gadis namun hakikatnya dibelenggu dengan masalah dua orang kakak yang begitu mengongkong dan mengawal rapi kehidupannya sejak dari kecil iaitu setelah kematian kedua orang tuanya. 
 
Kakak-kakak Habib iaitu Farisya dan Fiona. Farisya merupakan seorang yang garang dan tegas sesuai dengan jawatan sebagai eksekutif syarikat. Fiona pula tak ada apa-apa kemahiran selain suka menjadi batu api dan penyampai mohor-mohor besar (reporter). Dia juga berperwatakan tomboy.
 
Memandangkan Habib adik tunggal lelaki mereka yang bongsu ditambah lagi dengan amanat orang tua agar menjaga Habib dengan baik, maka Habib telah dikawal rapi oleh mereka sehinggalah dia meningkat dewasa. Malah Farisya juga sehingga kini tidak berkahwin kerana tanggungjawab terhadap adik-beradiknya amat besar. 
 
Semenjak di bangku sekolah lagi, ramai pelajar yang tergila-gila dan cuba memikat Habib dan pasti mereka akan diberikan habuan kerana dianggap mengganggu adiknya biarpun mereka sekadar memberi senyuman. Habib benar-benar dijaga mengalahkan anak gadis. Lantaran itu, dia sering diejek oleh pelajar di sekolah dan semua cintanya tidak menjadi gara-gara gangguan kakak-kakaknya. Kepada Ucop, kawan baik Habib lah yang menjadi pendengar setia masalah Habib selama ini. 
 
Selepas tamat SPM, Habib telah ditempatkan belajar di sebuah kolej swasta namun masih lagi di bawah pengawasan Fiona yang menuntut di kolej yang sama bersama-sama dengan Ucop. Setiap hari Habib akan pergi dan balik bersama Ucop dan Fiona. Masa Habib hanya terhad di kelas dan masa riadahnya bersama kawan-kawan turut disertai Fiona. Ucop diberi arahan supaya memantau Habib. Pada awalnya Habib seakan sudah biasa dengan keadaan tersebut malah dia bersyukur kerana sentiasa berasa selamat di bawah jagaan kakaknya namun berlaku sebaliknya sejak kehadiran Cinta pelajar baru di kolej tersebut. 
 
Cinta membuatkan Habib ingin mendekatinya biarpun dia mengetahui risiko yang bakal diterimanya. Namun kali ini, Habib nekad apabila dia mendapat tahu Ucop juga mahu merapati Cinta. Habib sanggup lakukan apa saja demi Cinta dan usahanya tidak sia-sia. Cinta juga jatuh hati pada Habib yang baginya merupakan seorang lelaki yang sangat memahami jiwa wanita. Hubungan mereka semakin erat apabila Cinta tinggal bersama emak saudaranya, Kak Eton yang merupakan jiran sebelah rumah Habib. Kerap kali mereka balik dari kolej bersama. 
 
Habib dan Cinta mula keluar bersama, makan bersama di kolej, balik rumah bersama walaupun sekerat jalan saja kerana takut diketahui oleh kakak-kakaknya. Namun segalanya tidak bertahan lama apabila Fiona mula menghidu perhubungan mereka dan menghalang hubungan mereka. Namun Habib tetap keluar bersama Cinta dalam diam-diam dan sering ‘menipu’ kakak-kakaknya. Walau apapun Farisya dan Fiona tetap menghalang dan memarahi Cinta agar tidak bersama dengan Habib.
 
Dalam pada itu, Habib dan Ucop berusaha mencari teman kepada kakak-kakaknya. Pelbagai cara digunakan walau pada awalnya nampak amat mustahil kerana Habib kenal sangat dengan perangai kakak-kakaknya. Kak Eton pun turut berusaha mencari jodoh untuk Farisya. 
 
Habib yang dikatakan merajuk, lari dari rumah kerana dihalang percintaan dengan Cinta akhirnya pulang ke rumah dengan karakter yang agak ‘lembut’ dan meyakinkan kakak-kakaknya agar tidak perlu risau lagi kerana dia sudah tidak berminat untuk bercinta dengan perempuan. Kelam kabut kakak-kakaknya melihat perubahan mendadak Habib. Habib sebenarnya buat-buat ‘lembut’ bagi menyedarkan kakak-kakaknya.
 
Akhirnya kakak-kakaknya sedar dan kedua-duanya berkahwin dengan lelaki-lelaki yang ‘dicari’ oleh Habib dan Kak Eton. Cinta dan Habib juga kembali ‘bercinta’.

Tonton kesudahan telefilem Ya Habibi secara online.

Credit to Media Hiburan, Tonton Drama Melayu 2014